中文

English

Latihan Peringkat Antarabangsa
untuk Para Penatua dan Dikbang yang Bertanggungjawab
30 Mac–1 April 2012
Anaheim, Amerika Syarikat
&
Latihan untuk Para Penatua dan Dikbang yang Bertanggungjawab
di Malaysia, Singapura, dan Brunei
20–22 April 2012
Subang Jaya, Malaysia

MEMIMPIN MELALUI TELADAN
SEBAGAI PENATUA DAN DIKBANG YANG BERTANGGUNGJAWAB

      Tuan telah berbicara kepada 1,600 dikbang yang datang dari enam benua bagi menghadiri Latihan Peringkat Antarabangsa untuk Para Penatua dan Dikbang yang Bertanggungjawab di Anaheim, Amerika Syarikat pada 30 Mac hingga 1 April yang lepas. Subjek mesej pada kali ini ialah "Memimpin Melalui Teladan sebagai Penatua dan Dikbang yang Bertanggungjawab". Tiga minggu kemudian, latihan yang sama turut diadakan di Subang Jaya untuk penatua dan dikbang yang bertanggungjawab dari gereja-gereja di Malaysia, Singapura, dan Brunei. Latihan ini dihadiri kira-kira 290 pekudus.

      Seluruh beban latihan kali ini berkaitan dengan kepimpinan penatua dalam gereja sebagai teladan yang perlu dihormati dan diikut oleh semua percayawan. Satu Petrus 5:2-3 berkata, "Gembalalah kawanan Tuhan di kalangan kamu, menguruselia mereka menurut Tuhan, bukan secara paksaan tetapi secara sukarela; bukan dengan mencari keuntungan menerusi cara yang keji, tetapi dengan bersungguh-sungguh; dan juga bukan seperti mempertuani bahagian peruntukanmu tetapi dengan menjadi teladan bagi kawanan." Penatua dan dikbang yang bertanggungjawab harus berfungsi dengan memimpin melalui teladan, bukan mempertuani percayawan. Mereka harus mempersembahkan diri mereka sebagai teladan bagi kerja-kerja baik dalam segala hal agar dapat dicontohi percayawan.

      Tuan Yesus sendiri ialah teladan kita. Untuk melaksanakan ministri Wasiat Baru Tuhan, Tuan Yesus tidak pernah melakukan apa-apa daripada diri-Nya (Yoh. 5:19). Dia tidak melakukan kerja-Nya sendiri (Yoh. 4:34; 17:4). Dia tidak membicarakan kata-kata-Nya sendiri (Yoh. 14:10, 24). Dia melakukan segala-gala bukan menurut kehendak-Nya sendiri (Yoh. 5:30), dan Dia tidak mencari kemuliaan-Nya sendiri (Yoh. 7:18). Dia hanya bertumpu pada satu perkara, iaitu hidup kerana Bapa demi kemuliaan Bapa. Dia hidup dengan menikmati Bapa sebagai kurnia terkaya dan kasih yang termanis. Puji Tuan kerana Dia kini berada dalam kita. Untuk memperkembangkan beban tentang pimpinan melalui teladan ini, lapan mesej telah disampaikan, dan isi kandungannya diliputi secara padat di bawah.

Mesej Satu—Memimpin Melalui Teladan
dengan Menjadi Contoh dan dengan Mengasihi Tuan dengan Kasih Pertama

      Dikbang perlu memimpin melalui teladan dengan mengasihi Tuan dengan kasih pertama, iaitu kasih yang terbaik, memberi Tuan kedudukan unggul, tempat pertama dalam segala sesuatu, dan didesak oleh kasih-Nya agar mengambil dan menerima Dia sebagai segala-gala dalam kehidupan mereka. Ini harus menjadi asas pelayanan dalam kehidupan gereja. Wahi bab 2 jelas mewahikan bahawa meninggalkan kasih pertama terhadap Tuan ialah punca dan sebab utama kegagalan gereja sepanjang zaman. Jika kita tidak bertaubat dan melakukan kerja-kerja pertama, kita akan kehilangan kesaksian Tuan, dan kaki pelita akan diambil daripada kita. Betapa seriusnya kata-kata Tuan ini. Semoga kita menjadi pencinta Yesus, mempunyai hubungan yang peribadi, penuh kasih sayang, persendirian, dan rohani dengan Tuan dengan datang kepada Dia secara berterusan untuk menghubungi Dia, mengambil Dia, menerima Dia, mengecap Dia, dan menikmati Dia. Dengan mengasihi Tuan sebegini, kita menabalkan Dia sebagai pemerintah dan penentu bagi segala hal dalam kehidupan kita (Kol. 2:19).

Mesej Dua—Memimpin Melalui Teladan dengan Mengalami Hayat

      Setiap gereja amat memerlukan hal-hal hayat. Gereja ialah hasil daripada hayat dan hayat ialah isi kandungan gereja. Oleh itu, kita harus memimpin melalui teladan dengan mengalami hayat ini. Hayat ialah Tuhan dalam Kristus sebagai Roh itu yang mengalir keluar untuk dinikmati oleh manusia dan untuk menggirangkan serta memuaskan manusia. Hari ini, hayat Tuhan ada dalam kita dan berhasrat untuk dihidup keluar daripada kita.

      Namun kita perlu mengenali halangan yang dihadapi hayat Tuhan dalam kita termasuk konsep manusia, kemunafikan, pemberontakan, dan keupayaan alamiah kita. Persona kita berserta minda, tekad, dan emosi kita yang tidak dapat bekerjasama, bahkan bercanggah dengan roh kita juga menjadi halangan untuk menghidup keluar hayat Tuhan. Memandangkan hayat Tuhan telah masuk ke dalam kita, kita perlu bekerjasama dengan-Nya untuk menanggulangi semua halangan. Satu-satunya penyelesaiannya ialah melalui salib dan membiarkan salib menghancurkan kita. Jalan hayat ialah jalan kematian. Bila-bila sahaja kematian Kristus beroperasi dalam kita, hayat Kristus ada jalan untuk keluar daripada kita. Amen.

Mesej Tiga—Memimpin Melalui Teladan dengan Meministerkan Hayat

      Kita juga perlu memimpin melalui teladan dengan meministerkan hayat abadi dalam kita yang telah kita nikmati kepada anggota Tubuh yang lain. Ministri hayat sedemikian akan membina gereja dan memelihara kita dalam kesatuan. Dengan cara inilah sifat pemulihan Tuan terpelihara. Namun jalan ini mahal kerana jalan ini dihasilkan dalam kita melalui kerja salib. Semakin kita mati bersama Kristus dengan cara ini, semakin termanifesnya kudrat kebangkitan-Nya dalam kita dan semakin kita memperoleh kekayaan hayat untuk diminister kepada orang lain. Inilah kerja para dutus, kerja sebenar ministri waadah baru. Hari ini, Tuhan sedang mencari orang yang rela berdiri dalam kematian supaya gereja dapat mempunyai jalan hayat.

Mesej Empat—Memimpin Melalui Teladan dengan Bertutur-sabda
demi Pembinaan Gereja sebagai Tubuh Kristus yang Organik

      Demi pembinaan gereja sebagai Tubuh Kristus yang organik, penatua dan dikbang yang bertanggungjawab perlu memimpin melalui teladan dengan bertutur-sabda, mengambil Kristus sebagai teladan Penyabda untuk berbicara keluar Tuhan dan menutursabdakan banyak perkara berkenaan ekonomi Tuhan. Bertutur-sabda ialah kurniaan paling agung untuk membina gereja (1 Kor. 14:4b, 5). Sebagaimana Musa berhasrat agar semua umat kepunyaan Yehova menjadi penyabda yang berbicara untuk Tuhan, demikian juga Paulus berhasrat agar semua percayawan Wasiat Baru Tuhan bertutur-sabda (1 Kor. 14:31). Puji Tuan! Pemulihan Tuan ialah pemulihan setiap orang bertutur-sabda menurut amalan dalam 1 Korintus 14 demi pembinaan gereja sebagai Tubuh Kristus yang organik. Secara praktikal, ini akan menyingkirkan "kelaziman bangsa-bangsa", iaitu seorang sahaja yang berbicara manakala yang lain cuma mendengar, serta akan membebaskan fungsi organik setiap orang.

      Tanggungjawab kita ialah mengingatkan semua pekudus, bermula dengan diri kita, bahawa semua percayawan mempunyai kapasiti untuk bertutur-sabda. Kapasiti ini ada dalam hayat divin yang dimiliki dan dinikmati percayawan; hayat ini perlu bertambah dalam mereka supaya kapasiti ini dapat dikembangkan. Untuk berbuat demikian, kita perlu mengasihi Tuan, ditepui dan dikonstitut sabda-Nya, bergerak-hidup menurut Roh dan menerima inspirasi seketika, mempunyai pandangan syurgawi dan divin untuk mengenali Kristus dan gereja, serta berbicara dengan adanya wahi, dengan menggunakan ungkapan dan ujaran yang segar.

Mesej Lima—Memimpin Melalui Teladan dengan Menjadi Orang yang Berdoa

      Terdapat keperluan yang besar untuk kita belajar daripada Tuan agar menjadi orang yang berdoa. Contoh doa yang dipanjatkan Tuan dalam Matius 6:9-13 ialah satu teladan; doa ini pertama-tama mengambil berat tentang nama Tuhan, kingdom Tuhan, dan kehendak Tuhan, dan seterusnya mengambil berat tentang keperluan kita dalam bekalan harian kita, kegagalan kita di hadapan Tuhan dan hubungan kita dengan orang lain, dan penyelamatan kita daripada dia yang iblisi dan daripada hal-hal jahat. Doa yang menjadi teladan ini berakhir dengan umat kingdom mengenali dan memuji dengan penuh rasa hormat bahawa kingdom, kudrat, dan kemuliaan itu milik Bapa buat selama-lamanya.

      Dalam Matius 14:19, Tuan juga melatih kita agar belajar daripada Dia dalam mukjizat memberi makan kepada lima ribu orang. Kita perlu "menengadah ke langit", iaitu mengakui bahawa Bapa kita yang berada di syurga ialah sumber kita. Oleh itu, kita hanya bersandar pada-Nya, mencari kehendak-Nya supaya Bapa dapat dimuliakan. Selepas melakukan mukjizat, Tuan naik ke gunung seorang diri untuk berdoa. Ini ialah iktibar hayat yang intrinsik dan dalam yang perlu kita belajar.

Mesej Enam—Memimpin Melalui Teladan
dengan Mengenali Tubuh dan Berpegang pada Prinsip Tubuh

      Dalam latihan ini, dikbang didorong agar memimpin melalui teladan dengan mengenali Tubuh. Kita dibantu agar melihat bahawa semua masalah dalam gereja hari ini disebabkan oleh kejahilan terhadap Tubuh Kristus. Atas sebab ini, kita perlu memohon kepada Bapa secara terdesak agar memberi kita roh kearifan dan wahi supaya kita berpengetahuan penuh terhadap Tubuh dalam hayat dan pengamalan.

      Kita perlu mengenali Tubuh dari segi hayat. Tubuh Kristus dibentuk oleh Kristus yang merupakan hayat kita; hayat ini berbaur dengan kita untuk menjadi Tubuh Kristus. Dengan mengalami hayat dan bertumbuh dalam hayat, kita akan mengenali Tubuh. Hanya selepas kita menanggulangi tubuh daging, diri, dan konstitusi alamiah kita, barulah kita dapat mengenali Tubuh Kristus. Selain itu, kita juga perlu mengenali Tubuh dari segi amalan; dari segi amalan, gereja lokal ialah ekspresi Tubuh Kristus di satu lokaliti yang tertentu.

      Dikbang mengingatkan kita bahawa kita perlu memimpin melalui teladan dengan berpegang pada prinsip Tubuh; salah satu prinsip Tubuh ialah persekutuan divin. Persekutuan divin ialah realiti kehidupan Tubuh Kristus. Inilah keperluan kita yang terdesak agar Tuan dapat memperoleh Tubuh secara praktikal.

Mesej Tujuh—Memimpin Melalui Teladan dengan Berdiri di atas
Tapak Gereja yang Unik, Berada di bawah Pengehadan Tubuh Kristus,
dan Peka terhadap Tubuh dalam Kesehatisejiwaan

      Memimpin melalui teladan dengan berdiri di atas tapak gereja yang unik adalah amat penting; inilah amalan gereja pada zaman awal. Amalan yang tercatat dalam Kisah Para Dutus 8:1, 13:1, dan Wahi 1:11 menunjukkan satu kota hanya ada satu gereja. Semasa kita berhimpun di atas tapak kesatuan yang sejati, kita perlu memberi perhatian kepada empat ciri: Pertama sekali, umat Tuhan haruslah sentiasa satu. Kedua, umat Tuhan dihimpunkan ke dalam nama yang unik, iaitu nama Tuan Yesus Kristus. Ketiga, sewaktu kita berhimpun untuk menyembah Tuhan, kita harus melatih roh kita dan melakukan segala hal dalam roh. Keempat, semasa kita menyembah Tuhan, kita harus menerapkan salib.

      Sebagai anggota Tubuh Kristus yang berdiri di atas tapak kesatuan, kita perlu memimpin melalui teladan dengan berada di bawah pengehadan Tubuh Kristus, iaitu tidak melampaui ukuran kita. Kita harus bergerak dan bertindak menurut berapa banyak yang telah diukur Tuhan kepada kita, dengan kekal berada dalam had sukatan Tuhan. Demi pergerakan Tuan dalam pemulihan-Nya dari aspek lokal dan universal, kita perlu memimpin melalui teladan dengan peka terhadap Tubuh dalam kesehatisejiwaan.

Mesej Lapan—Memimpin Melalui Teladan
dengan Bekerja Bersama dengan Tuan demi Tubuh

      Kata-kata ini amat segar dan tepat pada masanya. Mula-mula, kita perlu menyedari bahawa kerja kita bersama dengan Tuan adalah untuk Tubuh-Nya, bukan untuk kepentingan peribadi. Kerja utama Tuhan ialah menggarapkan diri-Nya dalam Kristus ke dalam umat pilihan-Nya, menjadikan diri-Nya satu dengan mereka demi Tubuh Kristus. Kita dapat bekerja bersama dengan Tuan demi Tubuh-Nya menerusi doa kita dan penyempurnaan pekudus demi kerja ministri.

      Jika kita ingin bekerja bersama dengan Tuan demi Tubuh, kita perlu menjadi gadis Sulam, yakni seorang yang layak bekerja bersama dengan Kekasihnya. Sebagai duplikasi Kristus menerusi proses transformasi dan konformasi, kita berbahagian dalam kerja Tuan bukan dengan bekerja "untuk" Tuan tetapi bekerja "bersama dengan" Tuan demi Tubuh-Nya. Di tengah-tengah kerja Tuan, kita memberikan kasih kita kepada-Nya (Mrk. 12:30). Semoga kasih kita kekal segar sebagai kasih pertama. Oleh itu, dikbang-dikbang yang aku kasihi, berteguhlah, jangan goyah, selalu melimpah-ruah dalam kerja Tuan, kerana mengetahui bahawa jerih lelah kita tidak sia-sia dalam Tuan (1 Kor. 15:58).

HTML Comment Box is loading comments...