中文

English

POHON ANGGUR DAN KAKI PELITA

KESIMPULAN

      Puji Tuan untuk sabda-Nya yang kaya berkenaan Pohon Anggur dan Kaki Pelita dalam lima mesej yang disampaikan melalui isu-isu Sehati Sejiwa yang lepas. Isu ini memberikan satu kesimpulan bagi mesej-mesej ini. Kelima-lima mesej ini berfokus pada pengalaman kita terhadap pohon anggur dan kaki pelita, dan boleh juga dianggap sebagai penerapan rohani berkenaan pohon anggur dan kaki pelita pada seorang percayawan. Kita telah melihat bahawa pohon anggur dan kaki pelita melambangkan Tuhan Tritunggal. Pohon anggur melambangkan Tuhan Tritunggal dalam suatu organisma. Kaki pelita melambangkan Tuhan Tritunggal yang terjasad dan terekspresi. Kedua-dua pohon anggur dan kaki pelita ialah ekspresi korporat Tuhan. Pohon anggur menitikberatkan hayat, isi dan pengaliran keluar Tuhan manakala kaki pelita menitikberatkan cahaya, ekspresi dan pencahayaan Tuhan.

      Apabila kita percaya dan dibaptis ke dalam Tuan, kita telah dicantum kepada Kristus, pohon anggur itu. Kita menjadi sebahagian kecil daripada pohon anggur. Prinsip yang sama digunakan untuk kaki pelita emas. Wahi 1 menunjukkan bahawa gereja-gereja ialah kaki pelita emas. Pada penghujung buku Wahi, terdapat Yerusalem Baru sebagai kaki pelita yang agung dan universal. Kota tersebut ialah kaki pelita dengan Tuhan sebagai cahaya dalam Kristus Anak Domba sebagai pelita. Dalam seluruh kota, hanya ada satu jalan yang melingkar ke bawah dari gunung. Di tengah-tengah jalan, terdapat sungai air hayat. Dalam sungai dan di kedua-dua tebing sungai, terdapat pohon hayat. Perkara ini hanya dapat berlaku jika pohon hayat ini ialah pohon anggur. Di sini, pohon anggur dan kaki pelita adalah satu. Kota itu sendiri ialah kaki pelita emas dan hayat kota ialah pohon hayat yang bertumbuh dalam sungai dan di kedua-dua tebing sungai. Inilah gambaran berkenaan apa yang akan kita jadi dan siapa kita. Kita sebahagian daripada pohon anggur dan sebahagian daripada kaki pelita.

~ POHON ANGGUR ~

      Pohon anggur benar sebagai organisma Tuhan Tritunggal adalah untuk pelipatgandaan, penyebaran, dan pemuliaan-Nya dalam hayat divin-Nya. Kristus sebagai pohon anggur benar melakukan perkara ini melalui kita, yakni ranting-ranting. Oleh itu, sebagai ranting-ranting dalam pohon anggur, kita perlu bertumbuh dengan kekayaan Tuhan Tritunggal dan bercabang dengan memberitakan injil dan mendirikan gereja. Terdapat banyak tempat di Malaysia yang masih tidak ada kaki pelita. Pohon anggur perlu menyebar ke tempat-tempat ini supaya kaki pelita didirikan untuk pemuliaan Tuhan Tritunggal.

      Sebagai ranting-ranting dalam pohon anggur, kita perlu tinggal dalam pohon anggur. Kita tinggal dalam pohon anggur merupakan perkara persekutuan. Semua persekutuan kita dengan Tuan, doa kita kepada-Nya, dan kehidupan kita dengan-Nya berlaku dalam roh pembauran kita. Hanya dalam roh pembauran, kita dapat tahu apa yang ingin dilakukan dan disempurnakan Tuan. Apabila kita tinggal dalam Tuan, dan sabda-Nya tinggal dalam kita, kita dapat menyentuh perasaan Tuan dan memahami hasrat-Nya. Kehendak-Nya akan menjadi kehendak kita. Doa kita akan menjadi ekspresi kehendak-Nya dan Tuan akan memakbulkan doa sebegini. Betapa pentingnya kita tinggal dalam Tuan supaya kita berdoa secara berkesan agar Tuan dapat bergerak tanpa halangan!

~ KAKI PELITA ~

      Kaki pelita emas melambangkan perjasadan dan ekspresi Tuhan Tritunggal. Semakin banyak kita mengalami aspek kaki pelita yang terperinci, semakin banyak kita akan menjadi kaki pelita emas dalam realiti.

      Pertama sekali, kaki pelita adalah emas tulen, maka kita perlu menjadi emas tulen. Kita dapat berbahagian dalam emas (sifat divin) melalui sabda, iaitu ministri, dan dengan membayar harga.

      Kedua, kaki pelita harus mempunyai bentuk yang padu. Secara semula jadi, kita mempunyai bentuk sendiri dan kita mengekspresikan rupa diri. Akan tetapi, setelah kita dilahirukan, Kristus masuk ke dalam kita sebagai Dia yang mempunyai bentuk padu. Kini, Dia sedang mentransform kita dan mengkonform kita menjadi imej-Nya. Kita perlu mengalami penyelamatan organik Tuhan supaya dibentuk menjadi imej Kristus.

      Ketiga, terdapat tujuh pelita dalam kaki pelita yang melambangkan tujuh Roh Tuhan. Roh Tuhan yang diperhebat tujuh kali ganda berada dalam roh kelahiruan kita. Roh Tuhan dan roh kita ini ialah dua pelita yang menyinari dan mencahayai bahagian dalaman kita. Kita perlu buka kepada sinaran dan pencahayaan ini.

      Keempat, kaki pelita terhasil daripada kerja penempaan. Semua emas mesti dikumpulkan dan ditempa menjadi satu entiti. Tuan tidak mahu emas yang berasingan, Dia mahu satu kaki pelita. Oleh itu, kita perlu rela supaya emas dalam kita ditempa bersama dengan emas dalam orang lain. Kerelaan kita membayar harga untuk membeli emas adalah tidak cukup. Kita juga perlu membayar harga untuk dibawa bersama dan ditempa menjadi satu entiti. Inilah pembinaan.

      Kelima, kaki pelita ialah pohon yang bertumbuh. Kristus tidak bertumbuh dalam diri-Nya tetapi Dia perlu bertumbuh dalam kita. Betapa pentingnya kita bekerjasama dengan Tuan dan memberi-Nya laluan dalam kita supaya Dia dapat bertumbuh dalam kita dan melalui kita! Semakin banyak Tuan bertumbuh dalam kita dan melalui kita, semakin banyak cahaya yang akan ada dalam gereja.

      Keenam, cawan kaki pelita berbentuk seperti bunga badam. Bunga badam melambangkan pemekaran hayat kebangkitan. Terdapat keperluan terdesak untuk pemekaran sebegini dalam pemulihan Tuan. Kita perlu rela supaya hayat alamiah kita dibunuh. Hanya dengan cara inilah kita dapat mengalami pemekaran hayat kebangkitan.

      Ketujuh, jika kita menjadi kaki pelita emas dalam realiti, kita perlu mengasihi Tuan dengan kasih pertama, yakni kasih terbaik. Mengasihi Tuan dengan kasih pertama bererti memberi-Nya kedudukan pertama, menganggap Kristus sebagai segala sesuatu dan tidak mengasihi sesiapa atau apa-apa lebih daripada-Nya. Untuk memberi Dia kedudukan pertama, kita harus rela dilaraskan, dihancurkan, dan ditiadakan supaya Tuan mempunyai laluan dalam kita, menerusi kita, dan dalam kalangan kita untuk membina Tubuh organik-Nya. Akhirnya kita akan sedar bahawa kita tidak mempunyai kasih sebegini dalam diri kita. Kita mengasih kerana Dia mengasihi kita dahulu. Dia menginfuskan esens kasih-Nya ke dalam kita supaya kita dapat mengasihi-Nya.

      Kelapan, sumbu hangus dalam kaki pelita perlu dipotong dengan penyepit emas tulen. Kita tahu bahawa apabila sumbu hangus menjadi panjang, cahaya menjadi tidak terang dan tidak murni. Oleh itu, kita memerlukan Tuan memotong hayat alamiah kita yang lama dan hangus supaya penyinaran hayat kebangkitan itu terang dan murni.

      Kesembilan, kaki pelita ialah gereja sebagai perjasadan dan ekspresi Tuhan Tritunggal. Ekspresi ini ialah Tuhan dimanifeskan dalam tubuh daging. Bukan sahaja Kristus ialah Tuhan dimanifeskan dalam tubuh daging, gereja sebagai Tubuh-Nya juga merupakan ekspresi Tuhan dalam tubuh daging secara korporat dan diperbesar. Sama ada kita menjadi ekspresi ini dalam realiti atau tidak bergantung pada sama ada kita berada dalam Roh atau tidak. Untuk ini, kita perlu melatih menjadi satu roh dengan Tuan, bergerak-hidup mengikut Roh dan melatih roh kita sehingga membawa kepada kesalihan supaya Tuan mempunyai ekspresi korporat sebegini! Apabila kita mengalami setiap perincian kaki pelita emas, kita sebagai gereja lokal akan beransur-ansur menjadi kaki pelita bukan sahaja dalam kedudukan, tetapi juga dalam realiti.

Mengalami Kaki Pelita Dari Aspek Lain

      Sekarang kita perlu melihat perkara ini dari sudut yang lain. Pertama sekali, Tuhan menghasratkan lebih banyak kaki pelita emas. Kita tidak harus berehat di lokaliti kita. Tuan berbeban untuk melipatgandakan kaki pelita. Hasrat yang ada dalam Tuan ini harus berada dalam hati kita dan doa kita. Kemudian apabila Tuan memimpin dalam kerja pengembangluasan, kita harus bersatu dengan kerja itu sepenuhnya. Semasa kita mengalami Tuhan Tritunggal untuk kaki pelita, kita harus buka diri untuk menerima beban-Nya tentang penyebarluasan.

      Kedua, menurut buku Wahi, semua kaki pelita adalah sama. Dari segi luaran, terdapat perbezaan dari segi lokaliti, tetapi semua kaki pelita itu adalah sama. Semasa kita melipatgandakan bilangan kaki pelita, kita perlu berjaga-jaga agar dikbang-dikbang tertentu tidak mempergunakan situasi lokal untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Dalam buku The Divine Economy, semasa merujuk kepada keadaan yang seharusnya sama antara semua kaki pelita, Dikbang Lee berkata, "Ketika Tuan mempunyai situasi ini di bumi, Dia akan kembali." Kita adalah sama bukan kerana kita mengamalkan kesamarataan. Kita sama kerana kita semua membeli emas, dibentuk menjadi imej yang sama, mengalami penyinaran kaki pelita, mengalami pohon yang bertumbuh, pemekaran cahaya, dan penempaan semua emas bersama-sama. Apabila pekudus di seluruh bumi mempunyai pengalaman yang sama, kita semua menjadi sama secara intrinsik.

      Ketiga, pada zaman ini, Tuan harus mendapatkan kaki pelita emas. Namun kaki pelita bukanlah matlamat muktamad Tuhan. Matlamat muktamad Tuhan ialah semua kali pelita menjadi satu kaki pelita emas yang universal, yakni Yerusalem Baru. Apa yang kita lakukan di lokaliti kita hari ini haruslah sepadan dengan Yerusalem Baru. Semua emas dalam kita perlu dibawa bersama untuk menjadi kaki pelita di lokaliti kita. Akhirnya, semua emas dalam semua kaki pelita akan dibawa bersama untuk menjadi Yerusalem Baru.

      Secara kesimpulan, terdapat beberapa perkara tentang Yerusalem Baru yang perlu kita alami. Pertama sekali, Yerusalem Baru ialah sebuah gunung. Dalam Wasiat Baru, gunung menandakan kebangkitan dan kenaikan ke syurga. Semasa hari-hari berlalu pada tahun 2012, Tuan akan beroperasi dalam kita untuk membawa kita ke dalam kebangkitan dengan lebih banyak lagi. Seterusnya, gunung ini diperbuat daripada emas, dan emas ini adalah seperti kaca jernih, kaca lut sinar, dengan hanya ada satu jalan di kota. Ini menunjukkan bahawa seluruh kota adalah lut sinar; segala-galanya jujur, murni, dan sejati. Kita perlu belajar menjadi lut sinar secara wajarnya semasa bersekutu dan menjalani kehidupan gereja. Ini bermaksud bahawa jika sewaktu kita sedang bersekutu tentang suatu perkara yang belum diputuskan, dan kita mempunyai perasaan tertentu, maka kita harus berkongsi dan meluahkannya. Inilah lut sinar. Namun jika kita ada sesuatu dalam kita yang harus kita luahkan namun kita tidak berbuat demikian, itu legap dan bukan lut sinar.

      Dalam Yerusalem Baru, kita semua berbahagian dalam pohon hayat. Perkara ini ialah perkara utama dalam kehidupan gereja. Pohon hayat ialah pohon anggur yang bertumbuh di sungai air hayat. Sungai air hayat ini ialah aliran yang unik, iaitu satu-satunya aliran di jalan emas, dengan pohon hayat yang menopang kaki pelita. Untuk ini, kita perlu mengalami kebangkitan, menjadi lut sinar secara wajarnya dalam persekutuan, berbahagian dalam pohon hayat, dan kekal berada dalam aliran. Inilah pohon anggur dan kaki pelita untuk pengalaman dan kenikmatan kita. Semoga Tuan memberkati kita semua dengan lebih banyak emas, lebih banyak Tuhan, lebih banyak Kristus, lebih banyak Roh itu, lebih banyak kasih, lebih banyak cahaya, lebih banyak realiti, untuk lebih banyak kaki pelita emas.

HTML Comment Box is loading comments...