中文

English

Mesej Lima
Kaki Pelita
(3)
Kasih Pertama, Penyinaran Hayat Kebangkitan,
dan Manifestasi Korporat Tuhan dalam Tubuh Daging

      Tajuk mesej ini ialah Kasih Pertama, Penyinaran Hayat Kebangkitan, dan Manifestasi Korporat Tuhan dalam Tubuh Daging.

JIKA KITA HENDAK MENJADI KAKI PELITA EMAS DALAM REALITI,
KITA PERLU MENGASIHI TUAN DENGAN KASIH PERTAMA, KASIH TERBAIK

      Wahi 2:4-5 menunjukkan hubungan antara kasih pertama dan kaki pelita. Kepada pekudus di Efesus Tuan Yesus berkata, "Kamu telah meninggalkan kasihmu yang pertama." Kemudian Tuan berkata, "Ingatlah dari mana kamu jatuh, dan bertaubat serta lakukanlah kerja-kerja yang pertama itu." Kasih pertama adalah kasih yang memberi tempat pertama kepada Kristus. Kita paling mengasihi-Nya. Tidak ada orang, benda atau perkara yang kita kasihi lebih daripada-Nya. Kasih ini mendorong kita mengambil tindakan dan melayan. Kerja-kerja yang didorong oleh kasih pertama ialah kerja-kerja pertama. Motif kerja ini ialah kasih kita untuk Tuan. Justeru, Tuan memberitahu gereja di Efesus, "Jika tidak, Aku akan datang kepadamu dan akan mengambil kaki pelitamu dari tempatnya." Tuan tidak akan memusnahkan gereja atau menamatkan gereja di tempat tersebut. Dia berkata, "Aku akan mengambil kaki pelita itu. Kamu masih gereja lokal, masih himpunan percayawan yang dipanggil, tetapi realiti Tuhan Tritunggal tidak akan diekspresikan di situ. Kamu akan menjadi gereja lokal yang kosong."

      Kita tahu bahawa dalam Wasiat Lama, kemuliaan Tuan memenuhi bait. Bait itu rumah Tuhan. Pada suatu hari, Tuan Yesus memberitahu ahli agama, "Lihatlah, rumahmu ditinggalkan terbiar kepada kamu" (Mat. 23:38). Dia bermaksud, "Aku tidak ada di sana. Tuhan tidak ada di sana. Itulah rumah kamu." Ini menggambarkan apa yang mungkin berlaku pada suatu gereja lokal. Contohnya, semua gereja di suatu kawasan ingin mengadakan persidangan pembauran. Persidangan ini mungkin melibatkan tiga ribu pekudus dan hampir semua gereja berada di situ. Akan tetapi, ada satu gereja yang tidak hadir. Tidak ada seorang pun dikbang yang memimpin dalam gereja itu menghadiri persidangan itu. Ini menunjukkan satu gereja di kawasan itu tersisih. Gereja itu tidak berbahagian dalam hayat pembauran Tubuh Kristus. Terdapat sesuatu yang tidak normal dalam pimpinan, dan perkara yang tidak normal ini mungkin melibatkan kasih pertama. Ada orang yang telah meninggalkan kasih yang pertama, tidak melakukan kerja pertama dan akibatnya mereka mungkin kehilangan kesaksian. Perkara ini sangat serius. Pada abad kesembilan belas, Tuan mempunyai pemulihan hebat di kalangan Kumpulan Dikbang. Pada masa itu mereka merupakan Filadelfia, tetapi pada hari ini mereka sekadar jemaah yang kosong. Berbanding dengan Kumpulan Dikbang, Tuan telah membawa kita lebih maju lagi dalam pemahaman tapak gereja, iaitu satu gereja di satu kota. Kita setia terhadap perkara ini. Namun jika kita tidak normal terutamanya dalam pimpinan, kita mungkin kehilangan kaki pelita.

      Apabila kita mengasihi Tuan dengan kasih pertama dan melakukan kerja pertama, yakni kerja yang didorong oleh kasih dan menunjukkan kasih, kita akan mempunyai hayat dan cahaya. Kasih ini membawa kepada kenikmatan pohon hayat. Kemudian kita akan mempunyai cahaya hayat. Berikut disenaraikan lapan maksud mengasihi Tuan:
      1. Mengasihi Tuan Yesus bererti menghargai-Nya.
      2. Mengasihi Tuan Yesus bererti menetapkan hati dan seluruh bahagian kita pada-Nya.
      3. Mengasihi Tuan Yesus bererti membuka hati kepada-Nya.
      4. Mengasihi Tuan Yesus bererti menikmati-Nya dan bergirang dalam-Nya.
      5. Mengasihi Tuan Yesus bererti memberi Dia kedudukan terulung, tempat pertama dalam segala sesuatu.
      6. Mengasihi Tuan Yesus bererti bersatu dengan-Nya.
      7. Mengasihi Tuan Yesus bererti berhidupkan-Nya.
      8. Mengasihi Tuan Yesus bererti menjadi Dia dalam hayat dan sifat.

      Ada orang mungkin berfikir bagaimana kita dapat mengasihi Tuan sebegini. Satu Yohanes 4:19 berkata, "Kita mengasihi kerana Dia mengasihi kita dahulu." Kasih kita adalah kasih "kerana". Dalam diri kita, kita tidak dapat mengasih dengan betul. Tuhan mengasihi kita, kasih-Nya untuk kita menghasilkan kasih untuk-Nya dalam diri kita. Kasih Tuhan dicurahkan ke dalam hati kita, dan kasih ini membolehkan kita mengasihi Tuan dengan lapan cara tersebut. Perkembangan dan kematangan kasih memang memakan masa. Namun perintah inilah yang terunggul, "Mengasihi Tuan Tuhan kita dengan seluruh diri kita." Hanya apabila kita mengasihi Tuan dengan cara ini, kita dapat menjadi kaki pelita secara realiti. Jangan cuba menjadi kaki pelita. Sebelum kita membeli emas, sebelum kita dibentuk menjadi imej Kristus, sebelum kita dapat mengalami penyinaran pelita, sebelum emas kita ditempa bersama dengan emas orang lain, sebelum kita bermekar dalam hayat kebangkitan, kita hanya perlu mengasihi Tuan.

      Akhirnya, kita begitu mengasihi Tuan sehinggakan kita menjadi sama seperti Dia. Tuan yang kita kasihi itu ialah kaki pelita. Sekarang kita sedang menjadi sama seperti Dia. Dia sedang mereproduksikan diri-Nya. Semua gereja ialah reproduksi-Nya. Akan tetapi, jika kita meninggalkan kasih ini untuk mengasihi sesuatu atau seseorang terdahulu, kita akan kehilangan semua ini.

Mengasihi Tuan Yesus dengan Kasih Pertama Bererti
Memberi Dia Tempat Pertama, Kedudukan Terulung, dalam Segala Sesuatu

      Dalam cara kita mengamalkan kehidupan gereja, kita memberi Tuan tempat pertama. Kita tidak memberi tempat pertama kepada pendapat kita. Jika semua dikbang di semua gereja memberi Kristus tempat pertama dalam segala sesuatu, masalah tidak akan timbul. Jika kita tidak memberi Kristus tempat pertama, kita tidak dapat mengatakan kita mengasihi-Nya dengan kasih pertama. Tidak cukup sekadar mengasihi Tuan. Dia tidak seharusnya menjadi satu daripada benda-benda yang kita kasihi. Kita perlu menganggap Kristus sebagai segala-galanya dalam hidup kita dan tidak mengasihi sesiapa atau apa-apa lebih daripada-Nya. Dalam buku Titus, Paulus mengatakan bahawa perempuan yang lebih tua harus melatih perempuan yang lebih muda agar mengasihi suami dan anak-anak mereka. Sudah tentu kita harus mengasihi pasangan, anak-anak, dan ibu bapa kita, namun kita tidak mengasihi mereka lebih daripada Tuan. Dalam 1 Timotius 6:17, Paulus memberitahu Timotius bahawa Tuhan memberi kita segala sesuatu dengan kayanya untuk kita nikmati. Namun begitu, kita tidak menikmati semua itu lebih daripada Tuan. Hal ini perlu diputuskan dalam kita. Mengasihi apa-apa lebih daripada Tuan bermakna kita sudah jatuh dan mundur. Dikbang Lee berkata, "Untuk memberi Dia kedudukan terulung, kita harus rela dibetulkan, dihancurkan, ditiadakan, supaya Tuan mempunyai laluan dalam kita, menerusi kita, dan dalam kalangan kita untuk membina Tubuh organik-Nya" (Fellowship concerning the Urgent Need of the Vital Groups, m.s. 111).

Kita Mengasihi Tuan kerana Dia Mengasihi Kita Dahulu,
dengan Menginfuskan Esens Kasih-Nya ke dalam Kita dan
Menjanakan Kasih ini dalam Kita supaya dengannya Kita dapat Mengasihi-Nya

      Kita sendiri tidak berupaya menjanakan kasih sedemikian. Kasih ini berasal daripada Tuhan sendiri. Tuhan itu kasih. Dia mengasihi kita. Kita mengasihi-Nya kerana Dia mengasihi kita. Dia menginfuskan esens kasih-Nya ke dalam kita dan menjanakan kasih terhadap-Nya. Kita hanya perlu buka kepada-Nya dan menerima penginfusan esens kasih-Nya. Akhirnya kita akan membalas, "Tuan, aku mengasihi-Mu. Aku lebih mengasihi-Mu sekarang berbanding masa lain dalam hidupku." Kita berupaya mengasih kerana kasih itu kasih "kerana".

Kita Mengasihi Tuan Menurut Pendispenan Divin
daripada Triniti Divin ke dalam Kita sebagai Kasih

      Roma 5:5 dan 8:39 membicarakan kasih Tuhan, 8:35 membicarakan kasih Kristus, dan 15:30 membicarakan kasih Roh itu. Inilah Tuhan Tritunggal. Kasih ini kasih Tuhan, kasih Kristus, dan kasih Roh itu, yang didispenkan ke dalam kita. Jika kita betul-betul hendak mengasihi Tuan demi kaki pelita, kita hanya perlu buka kepada-Nya dan menerima pendispenan-Nya.

PENYEPIT DAN PENADAH KAKI PELITA, YANG DIBUAT DARIPADA EMAS TULEN
DAN DIGUNAKAN UNTUK MEMOTONG SUMBU YANG HANGUS, MELAMBANGKAN
PENANGGULANGAN HAYAT ALAMIAH YANG LAMA DAN HANGUS OLEH SIFAT DIVIN
SUPAYA PENYINARAN HAYAT KEBANGKITAN ITU TERANG DAN MURNI

      Pelita-pelita ada sumbu. Minyak akan meresapi sumbu, dan sumbu itu akan terbakar. Sumbu yang terbakar akan menjadi hangus dan hitam. Semakin lama semakin panjanglah sumbu yang hangus. Sumbu hangus yang panjang akan menyebabkan cahaya kurang terang dan tidak murni. Hentar perlu mengemas pelita itu dengan penyepit emas. Mereka akan memotong sumbu dan meletakkannya dalam penadah emas. Inilah penjagaan Tuan terhadap kaki pelita. Dia perlu menyingkirkan sumbu lama namun Dia melakukannya dengan cara divin. Apabila gereja yang baru didirikan, segala-galanya baru dan segar; setiap orang mengasihi Tuan, hayat mengalir dan cahaya bersinar. Beberapa tahun kemudian, keadaan yang tua dan lama wujud. Tuan berprihatin terhadap keadaan ini. Sesetengah gereja di Malaysia telah berada di sini berpuluh-puluh tahun. Dikbang yang memimpin dalam gereja haruslah berjaga-jaga terhadap keadaan yang lama ini. Sumbu mereka harus sentiasa dipotong, dengan itu barulah seluruh gereja akan mencontohi mereka.

Tuan Yesus Muncul dalam Buku Wahi sebagai Hentar Agung
yang Berjalan di Kalangan Kaki Pelita untuk Memotong Sumbu yang Hangus
dan Menambahkan Minyak

      Tuan tidak bergosip tentang kita. Dia hanya datang dan memotong sumbu, dan pemotongan-Nya tidak menyakitkan. Dia memotong sumbu dengan menggunakan sifat divin. Sumbu ini amat berharga kerana merupakan kesaksian hidup kita. Dia meletakkan sumbu itu ke dalam penadah emas. Kemudian Dia menambahkan minyak segar supaya kita berasa segar dan baru. Mari kita berdoa kepada Tuan, "Tuan, jangan biarkan aku menjadi tua dari segi rohani."

Hayat Alamiah Kita yang Hangus Perlu Dipotong
supaya Penyinaran Hayat Kebangkitan dalam Kita Menjadi Terang dan Murni

      Banyak orang Kristian tidak bersinar kerana mereka mempunyai sumbu hangus yang panjang. Ketika mereka berdiri bertutur-sabda, cahayanya kurang terang dan cerah. Namun sebaik sahaja sumbu mereka dipotong, biarpun mereka membicarakan perkara yang sama, tetapi cahaya itu terang. Hasil pemotongan ialah penyinaran cahaya yang lebih terang. Janganlah simpan sumbu kita. Biarlah Tuan datang dengan penyepit emas. Dia akan menyingkirkan seluruh sumbu dan meletakkannya dalam penadah emas dan menambahkan minyak segar.

JIKA KITA HENDAK MENJADI KAKI PELITA EMAS DALAM REALITI,
KITA PERLU BERLATIH MENJADI SATU ROH DENGAN TUAN, BERGERAK-HIDUP
MENURUT ROH, DAN MELATIH ROH KITA SEHINGGA MEMBAWA KEPADA KESALIHAN,
SEHINGGA MENJADI MANIFESTASI KORPORAT TUHAN DALAM TUBUH DAGING

      Sama ada kita benar-benar berada dalam gereja atau tidak bergantung pada sama ada kita berada dalam Roh itu atau tidak. Syarat pertama perhimpunan kita ialah kita harus berada dalam Roh itu. Kita boleh memilih untuk berada dalam Roh itu bila-bila masa yang kita hendaki. Apabila kita memberi respons kepada penyinaran Roh itu, kita akan bergerak-hidup menurut roh. Sebagai percayawan dalam Kristus, kita mempunyai kedivinan, yakni elemen divin; sekarang kita perlu berhidupkan kedivinan—berhidupkan Kristus—dengan berlatih menjadi satu roh dengan Tuan. Satu Timotius 3:15-16 menunjukkan bahawa bukan sahaja Kristus sendiri sebagai Kepala ialah manifestasi Tuhan dalam tubuh daging, tetapi gereja sebagai Tubuh juga ialah manifestasi Tuhan yang korporat dan diperbesar dalam tubuh daging. Dalam 1 Timotius 4:7, Paulus berkata, "Latihlah dirimu sehingga membawa kepada kesalihan." Kesalihan ialah Tuhan termanifes dalam tubuh daging, dan hal ini melibatkan gereja secara korporat. Kaki pelita ialah gereja sebagai perjasadan dan ekspresi Tuhan Tritunggal. Ekspresi ini merupakan Tuhan termanifes dalam tubuh daging. Atas sebab ini, kita perlu melatih roh kita. Inilah fungsi kaki pelita emas.

HTML Comment Box is loading comments...