中文

English

Mesej Empat
Kaki Pelita
(2)
Pemekaran Hayat Kebangkitan dan
Pertumbuhan Hayat untuk Ekspresi Divin

      Tajuk mesej empat ialah Kaki Pelita (2) — Pemekaran Hayat Kebangkitan dan Pertumbuhan Hayat untuk Ekspresi Divin. Frasa untuk ekspresi divin dalam mesej empat bersamaan dengan frasa untuk pembinaan dalam mesej tiga.

SIMBOL KAKI PELITA EMAS MENUNJUKKAN BAHAWA TUHAN TRITUNGGAL
IALAH POHON HIDUP YANG BERTUMBUH, BERTUNAS, DAN BERMEKAR

      Jika kita mengkaji catatan tentang kaki pelita dalam Keluaran 25 dengan bantuan daripada buku kajian-hayat, kita akan melihat bahawa dalam pemikiran divin, kaki pelita ini sebenarnya satu pohon. Pada kaki pelita terdapat cabang-cabang, salut bunga dan bunga. Akhir sekali, bunga itu bermekar. Di sini ada sesuatu yang sedang bertumbuh, bertunas dan bermekar, seperti pohon hidup. Kita boleh mengatakan bahawa ini benar-benar pohon hayat, pohon anggur. Kaki pelita adalah organik. Inilah reka bentuk Tuhan.
Kaki pelita merupakan pohon yang bertumbuh. Menubuhkan gereja sebenarnya ialah menanam pohon dan mendirikan kaki pelita. Berberkatlah sekiranya semua gereja di Malaysia merupakan pohon yang bertumbuh. Pada hujung tahun ini, kita tidak berharap akan menjadi matang, sebagaimana kita tidak mengharapkan seorang remaja menjadi matang. Akan tetapi, jika kaki pelita di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Manjung, dan JohorBahru terus bertumbuh, keadaan sedemikian adalah normal. Namun perlu ada seseorang yang mengawasi hal ini. Jika pohon-pohon tersebut tidak bertumbuh, maksudnya ada sesuatu yang tidak kena. Kita perlu mencari Tuan untuk menerima bantuan. Kaki pelita ialah pohon yang bertumbuh, dan kita sebagai percayawan dalam Kristus merupakan sebahagian daripada pohon ajaib ini dalam kebangkitan. Kita perlu mempunyai empat perkara ini: sifat divin, hayat divin, Roh itu, dan cahaya yang bersinar. Ini membawa kita kepada inti mesej ini.

CAWAN-CAWAN YANG BERBENTUK BUNGA BADAM
MELAMBANGKAN PEMEKARAN HAYAT KEBANGKITAN

      Dalam Bilangan 17, perbalahan berlaku berkenaan kekuasaan. Musa mengarahkan bani Israel mengambil tongkat untuk setiap suku dan meletakkan tongkat mereka di Tempat Kudus semalaman. Malam itu melambangkan waktu penderitaan yang panjang. Pada keesokan pagi, yang melambangkan permulaan baru dalam kebangkitan, semua orang datang mengambil tongkat mereka. Tiada perubahan dilihat pada sebelas tongkat, tetapi tongkat Harun telah bertunas, bermekar dan menghasilkan buah badam. Buah badam melambangkan hayat kebangkitan. Cawan-cawan pada cabang yang berbentuk bunga badam melambangkan pemekaran hayat kebangkitan. Cawan tersebut bukan sahaja berbentuk seperti badam malah seperti bunga badam. Inilah pemekaran hayat kebangkitan. Pemekaran ini amat diperlukan dalam pemulihan Tuan. Di mana ada pemekaran, di situlah adanya ministri hayat yang sebenar. Kini kita sebahagian daripada kaki pelita sebagai pohon yang bertumbuh. Sekiranya kita rela mengalami kebangkitan, kita akan mempunyai
bunga badam. Cahaya datang daripada pemekaran hayat kebangkitan.

Prinsip Kebangkitan: Hayat Alamiah Dibunuh dan Hayat Divin Bangkit Menggantikannya

      Dalam 2 Korintus 1:9, Paulus berkata, “Sememangnya kami sendiri mempunyai respons maut dalam diri kami, bahawa kami tidak harus menaruh keyakinan kami pada diri sendiri tetapi pada Tuhan yang membangkitkan orang mati.” Para dutus dengan ministri mereka rela untuk membiarkan hayat alamiah mereka dibunuh agar hayat divin bangkit menggantikannya. Pengalaman ini sebahagian daripada hukum kaki pelita. Prinsip hayat atau hukum kaki pelita menuntut semua perkara berada dalam kebangkitan.

Berada dalam Kebangkitan Bererti Hayat Alamiah Kita Disalibkan,
Kemudian Bahagian Diri Kita yang Dicipta dan Ditebus Tuhan
Dipertinggi dalam Kebangkitan untuk Menjadi
Satu dengan Kristus dalam Kebangkitan

      Apabila kita tidak hidup melalui hayat alamiah kita tetapi melalui hayat divin dalam kita, kita berada dalam kebangkitan. Pengalaman ini lebih mendalam. Kita telah melihatbahawa kita merupakan bahagian-bahagian pada pohon yang bertumbuh ini. Kita ialah bahagian-bahagian kaki pelita. Kini hukum hayat dalam kaki pelita menuntut kita berada dalam kebangkitan. Oleh itu, kita perlu belajar tidak hidup melalui hayat alamiah kita tetapi melalui hayat divin dalam roh kita. Inilah kebangkitan. Hasil pengalaman kita terhadap Kristus sebagai hayat kebangkitan ialah Tubuh Kristus.

Tubuh Kristus ialah Organisma yang Sama Sekali Berada dalam
Hayat Kebangkitan Kristus; untuk Berada dalam Realiti Tubuh Kristus,
Kita Perlu Sama Sekali Berada dalam Hayat Kebangkitan Kristus

      Dalam catatan Yohanes 11, Tuan ingin membangkitkan orang mati. Dia mahu menjadi hayat kebangkitan, namun pendapat menjadi penghalangnya. Sebelum Tuan dapat membangkitkan Lazarus, semua pendapat perlu ditundukkan. Semua Marta, semua Maria, semua disipal dan seluruh himpunan orang ramai perlu berdiam diri. Kita menghendaki Dia menjadi Tuhan pencegah, tetapi Dia hendak menjadi Tuhan kebangkitan. Dia mengingini kesaksian yang berada dalam kebangkitan dengan sepenuhnya. Kaki pelita merupakan pohon dalam kebangkitan. Siapakah yang rela mengalami Tuhan kebangkitan dalam kaki pelita dan untuk kaki pelita?

Realiti Kebangkitan ialah Kristus sebagai Roh Beri-hayat

      Jika kita melakukan apa-apa kerja yang tidak berada dalam kebangkitan, Roh berihayat tidak akan menghormati kerja itu. Roh itu hanya menghormati apa yang berada dalam kebangkitan.

Kaki Pelita Emas Menggambarkan Kristus
sebagai Hayat Kebangkitan yang Bertumbuh, Bercabang, Bertunas,
dan Bermekar untuk Menyinarkan Cahaya

      Kaki pelita ialah pohon yang bertumbuh dengan mempunyai cawan-cawan yang berbentuk bunga badam. Pohon ini menggambarkan Kristus sebagai hayat kebangkitan. Kristus ialah kebangkitan dan kebangkitan merupakan kunci untuk membuka buku Kisah Para Dutus. Para dutus merupakan saksi-saksi kebangkitan Tuan. Gereja sebagai kaki pelita ialah kesaksian bagi hayat kebangkitan Kristus. Kristus sebagai hayat kebangkitan bertumbuh, bercabang, bertunas, dan bermekar untuk menyinarkan cahaya. Pemekaran hayat kebangkitan ialah cahaya yang bersinar. Penyinaran cahaya divin ditopang oleh hayat kebangkitan. Tanpa hayat kebangkitan, kita tidak ada apa-apa untuk menopang, menyokong, dan mengekalkan penyinaran cahaya divin kita. Kebangkitan merupakan dasar bagi penyinaran cahaya divin. Oleh itu, jika kita hendak menyinarkan cahaya hayat, kita harus berada dalam kebangkitan.

HURAIAN KAKI PELITA MENYAMPAIKAN IDEA PERTUMBUHAN

      Kaki pelita sesuatu yang bertumbuh. Salut bunga di bawah setiap pasang cabang menunjukkan pertumbuhan hayat. Cabang-cabang kaki pelita dihasilkan melalui pertumbuhan hayat. Cabang-cabang melambangkan percabangan keluar hayat kebangkitan Kristus. Bagi kaki pelita, tanggungjawab untuk bertumbuh lebih besar daripada penyinaran. Ini bermakna pertumbuhan itu asas. Memandangkan kaki pelita mentamsilkan Kristus, maka ini menunjukkan bahawa Kristuslah yang bertumbuh.

      Namun demikian, Kristus sendiri tidak bertumbuh. Dia tidak dapat bertumbuh. Dia sudah pun Tuhan yang tidak terbatas. Akan tetapi, Kristus bertumbuh dalam kita. Pertumbuhan kaki pelita ialah pertumbuhan Kristus dalam kita. Kaki pelita bertumbuh menerusi cabang dan dalam cabang. Ini menunjukkan bahawa Kristus bertumbuh dalam kita. Kita memerlukan Kristus bertumbuh dalam kita. Memang penting bagi semua cabang memberi laluan bebas kepada kaki pelita untuk bertumbuh dalam mereka dan menerusi mereka. Kita perlu membuka diri kita kepada Tuan dan memberi Dia
ruang dalam kita. Sebanyak mana cahaya yang ada dalam gereja bergantung pada setakat mana Kristus mempunyai laluan untuk bertumbuh dalam kita dan menerusi kita. Semakin kaki pelita bertumbuh dalam cabang-cabang, semakin kaki pelita akan bermekar dan bersinar, dan semakin banyak cahaya yang akan ada.

PENGALAMAN YANG NORMAL ADALAH SECARA BERANSUR-ANSUR,
SEDIKIT DEMI SEDIKIT, HARI DEMI HARI

      Puji Tuan untuk mesej ini. Setiap butir yang diwahikan memberikan tanggapan yang mendalam kepada kita. Setiap butir ini adalah untuk kita alami. Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa pengalaman yang normal adalah secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit, hari demi hari. Kebanyakan masanya kita tidak sedar akan apa yang sedang berlaku. Kita cuma perlu melatih iktikad kita. Kristus sedang berumah dalam hati kita menerusi iktikad. Kita melatih roh iktikad kita dan pada masa yang sama kita mengasihi Tuan. Begitu mudahnya amalan kita. Kita berkata, “Tuan, aku cinta pada-Mu. Aku percaya ke dalam-Mu. Aku percaya bahawa Engkau sedang bertambah dalamku. Tuan, aku berdoa agar Engkau bertumbuh dalamku, bertumbuh menerusiku. Bertumbuhlah demi kaki pelita, bertumbuhlah demi pembinaan.” Kemudian kamu hanya perlu percaya bahawa Tuan mendengar doa sedemikian. Secara beransur-ansur, pengalaman kita akan berkembang, dan kita akan mengalami setiap perincian kaki pelita. Dengan itu, sebagai gereja-gereja lokal kita akan menjadi kaki pelita bukan sahaja dalam kedudukan, tetapi juga dalam realiti.

HTML Comment Box is loading comments...