中文

English

Blending Conference Malaysia

Mesej Tiga
Kaki Pelita (1)
Mengalami Emas Tulen, Bentuk Padu
dan Tujuh Pelita untuk Pembinaan

      Subjek bagi persidangan ini ialah pohon anggur dan kaki pelita. Pohon anggur dan kaki pelita ialah ekspresi korporat Tuhan dalam aspek yang berlainan. Pohon anggur menekankan hayat dan kaki pelita menekankan cahaya. Berkenaan pohon anggur, kita ada hayat divin sebagai isi kandungannya, dan hayat ini mengalir keluar untuk menghasilkan buah. Berkenaan kaki pelita pula, fungsinya ialah bersinar. Kita perlu sedar bahawa kedua-dua pohon anggur dan kaki pelita membicarakan perkara yang sama: Tuhan Tritunggal bersatu dengan umat pilihan-Nya dan diekspresikan menerusi mereka. Akhirnya, Yerusalem Baru ialah kaki pelita, dan di situ terdapat pohon hayat sebagai pohon anggur yang bertumbuh dalam sungai air hayat.

      Penekanan kesemua mesej ini menekankan pengalaman rohani yang sejati. Pohon anggur terutamanya berkenaan kehidupan kita. Kaki pelita pula menekankan diri kita, iaitu apanya kita dalam Kristus. Kaki pelita di Ruang Maha Kudus sebenarnya tidak melakukan apa-apa; kaki pelita terletak di situ untuk menjadi kesaksian. Kita tahu pertama-tama, kaki pelita melambangkan Kristus sebagai perjasadan dan ekspresi Tuhan; kemudian, kaki pelita merujuk kepada Roh itu. Dalam Wahi, kaki pelita emas ialah gereja-gereja. Hasrat Tuhan ialah gereja-gereja menjadi kaki pelita. Ini sama sekali perkara berkenaan apanya kita. Jika kita hanya seorang manusia daripada tanah liat yang dicipta daripada debu tanah, bagaimanakah kita dapat menjadi sebahagian daripada kaki pelita? Jika kita hanya mengekspresikan diri kita, bagaimanakah kita dapat menjadi kaki pelita? Jika kita tidak dipenuhi cahaya hayat, bagaimana kita dapat menjadi sebahagian daripada kaki pelita? Dalam diri kita, kita tidak dapat menjadi kaki pelita emas ini. Akan tetapi, ekonomi Tuhan ialah mendispenkan dan menggarapkan diri-Nya ke dalam kita, untuk mengkonstitut kita dengan diri-Nya, menjadikan kita sama seperti Dia dalam hayat, sifat, dan ekspresi, tetapi bukan dalam Ketuhanan. Oleh itu, dalam Tuhan Tritunggal kita menjadi kaki pelita. Inilah pendirian dan kedudukan kita; apanya kita dalam pendirian kita perlu menjadi pengalaman dan realiti kita.

Kaki Pelita Emas Melambangkan Tuhan Tritunggal yang Terjasad dan Terekspresi;
Semakin Kita Mengalami Aspek-aspek Terperinci Tuhan Tritunggal
yang Digambarkan dalam Kaki Pelita, Semakin Kita akan Menjadi Kaki Pelita Emas,
yakni Perjasadan dan Ekspresi Tuhan Tritunggal, dalam Realiti

      Mesej-mesej yang berkenaan kaki pelita emas ini bukanlah teori dan juga bukan ajaran semata-mata. Mesej-mesej ini ialah penerapan terhadap pentafsiran kaki pelita emas pada percayawan yang mencari. Kita tidak harus cepat mengatakan bahawa kita sudah tahu. Memang bagus jika kita pernah mendengar perkara ini, tetapi adakah kita betul-betul mengalami kaki pelita emas dengan cara khusus? Semoga kita menjadi orang yang mempunyai telinga untuk mendengar kata-kata Roh itu; semoga kita menjadi orang yang mengasihi Tuan, buka kepada-Nya, dan berdoa untuk perkara ini. Dengan itu, kita akan mempunyai sedikit pengalaman hari demi hari.

Kaki Pelita Terdiri daripada Emas Tulen, Melambangkan Sifat Divin,
yakni Sifat Tuhan Bapa yang Abadi dan Tidak Korup

      Seluruh Yerusalem Baru adalah emas tulen. Kita bukan sahaja harus mengalami emas, malah emas tulen. Emas tulen ialah substan, elemen, bagi kaki pelita yang melambangkan sifat divin. Kaki pelita emas wujud dalam sifat Tuhan. Kewujudannya tidak bergantung pada atau wujud dalam sesetengah manusia berserta sifat manusia mereka. Sesetengah dikbang dan dikkak dalam kalangan kita mempunyai banyak emas tulen dalam diri mereka. Walaupun dari segi fizikal mereka masih berada dalam ciptaan lama, namun dalam mereka berisi emas tulen. Doa, pelayanan, dan pembicaraan mereka adalah emas tulen. Suatu hari nanti, kita semua akan menjadi Yerusalem Baru, yakni emas tulen. Oleh itu, kita harus membayar harga untuk memperoleh dan menerima Tuhan sebagai elemen emas ke dalam diri dalaman kita.

      Terdapat tiga cara untuk mengalami dan berbahagian dalam sifat divin. Cara pertama disebut dalam 2 Petrus 1:4; ayat ini berbicara tentang janji-janji yang berharga dan teramat besar. Inilah janji-janji dalam sabda Tuhan. Menerusi janji-janji ini, kita berbahagian dalam sifat divin. Dengan kata lain, kita berbahagian dalam emas menerusi sabda Tuhan. Apabila kita berbahagian dalam sifat emas Tuhan, kita mengalami tenaga hayat dalam sifat ini (2 Ptr. 1:3, nota kaki 11). Kadangkala kita berasa kecewa dan hampa terutamanya dengan diri kita. Pada ketika itu, kita dapat menyentuh tenaga dalam sifat divin dengan mendoa-baca sedikit sabda Tuhan. Tenaga ini akan membawa kita ke dalam kemuliaan Tuhan, ekspresi Tuhan.

      Cara kedua ialah menerima manfaat daripada ministri Tuan yang sejati. Dalam Zakharia 4, terdapat pohon zaitun di kedua-dua belah kaki pelita emas. Pohon zaitun ini, dipanggil anak-anak minyak, merujuk kepada orang yang meminister. Daripada pohon zaitun ini, minyak emas mengalir keluar dan emas dicurahkan ke dalam kaki pelita. Pohon zaitun berserta minyak zaitun melambangkan Roh itu. Inilah suatu gambaran bagi ministri Roh itu. Banyak daripada kita boleh bersaksi bahawa kita akan menerima minyak emas apabila kita membaca mana-mana bahagian bahan terbitan berkenaan ministri zaman. Oleh itu, apa yang harus kita lakukan ialah kita harus buka dan menerima ministri ini dengan aktif.

      Kedua-dua cara untuk kita berbahagian dalam sifat divin yang disebutkan di atas tidak ada tuntutan yang banyak. Akan tetapi, cara berbahagian yang ketiga adalah berbeza. Dalam Wahi 3:18, Tuan memberitahu gereja di Laodikia untuk membeli emas daripada-Nya. Pada prinsipnya, kita semua perlu membayar harga untuk membeli emas secara langsung daripada Tuan sendiri. Apabila kita membeli sesuatu, kita sentiasa kehilangan sesuatu, dengan menganggap bahawa apa yang kita beli itu lebih bernilai daripada apa yang kita lepaskan. Kita perlu membayar harga untuk menyangkal diri kita dan kehilangan hayat sukma kita agar memperoleh lebih banyak emas.

      Kesemua ini dapat kita alami: memperoleh emas menerusi sabda, memperoleh emas menerusi ministri, dan membayar harga untuk membeli emas. Kita harus berhasrat agar menjadi emas demi gereja. Sebanyak mana sifat divin yang telah digarapkan ke dalam kita akan menentukan setakat mana kita benar-benar berada dalam gereja. Jika kita semua membeli emas sepanjang tahun ini, dengan tidak melakukan apa-apa perkara luaran tetapi hanya bersatu dengan gereja dalam segala pengaturannya, berbahagian dalam sifat divin, maka kita akan mempunyai lebih banyak realiti dalam gereja di lokaliti kita pada tahun yang akan datang. Gereja sebagai kaki pelita adalah murni dan tanpa campur aduk. Sekarang, Tuan ingin menanggulangi campur aduk yang mengakibatkan kegelapan dalam kehidupan Kristian kita. Apabila kehidupan Kristian kita dimurnikan, kita mempunyai cahaya. Inilah sebabnya sesetengah pekudus adalah begitu terang. Elemen divin bersinar dalam mereka. Mereka tidak sedar akan keadaan diri mereka tetapi orang lain dapat melihat penyinaran pada mereka.

Kaki Pelita Merupakan Bentuk Padu,
Melambangkan Tuhan Anak sebagai Perjasadan Tuhan Bapa

      Kristus Anak ialah perjasadan Tuhan. Dia ialah imej dan ekspresi bagi Tuhan yang tidak dapat dilihat. Dalam-Nya terdapat perjasadan Tuhan Bapa. Hari ini, Kristus ini telah dilahirukan dalam diri kita. Dia masuk ke dalam kita sebagai Dia yang mempunyai bentuk padu. Dari segi pengalaman, Kristus sedang terbentuk dalam kita (Gal. 4:19). Kristus sebagai Roh itu berada dalam kita semua namun Dia masih belum terbentuk dalam kita. Dalam sifat sejadi kita, kita semua mempunyai bentuk kita sendiri. Akan tetapi, satu lagi bentuk telah masuk ke dalam kita untuk mentransform dan mengkonform kita kepada imej Kristus yang bangkit yang merupakan Anak sulung Tuhan. Inilah pengalaman yang sebenar. Pengalaman ini harus dialami sedikit demi sedikit, hari demi hari. Sesetengah pekudus ditransform dari kemuliaan ke kemuliaan. Namun begitu, banyak yang lain mengetahui doktrin transformasi, ajaran tentang pengkonforman, tetapi mereka tidak membenarkan Tuan terbentuk dalam mereka.

      Pengalaman ini sama sekali berlaku dalam iktikad. Kita tidak dapat merasainya tetapi jika kita ingin mengalaminya, kita harus berdoa, "Tuan, transformlah aku menjadi imej-Mu. Semoga Engkau lebih banyak terbentuk dalam aku. Tuan, konformlah aku kepada imej-Mu dengan memberi pengalaman yang aku perlukan. Tuan, aku tidak mahu kekal sama tahun demi tahun. Aku tidak mahu menjadi aneh. Tuan, bertumbuhlah dalam aku! Transformlah aku! Konformlah aku! Lakukan ini demi kaki pelita. Lakukan ini demi gereja." Kemudian, menerusi penyelamatan organik Tuhan, kita diselamatkan daripada rupa diri (ekspresi diri) dan dikonform kepada imej Kristus yang merupakan Anak sulung Tuhan.

      Sebenarnya, rupa yang tersebut ialah ekspresi korporat Kristus. Oleh itu, Tuan meletakkan kita dalam Tubuh untuk ditempa bersama dengan orang lain sehingga menjadi satu entiti kerana kaki pelita ialah hasil kerja tempaan. Dengan demikian, barulah kita akan menyinarkan cahaya Tuhan demi kesaksian korporat-Nya. Tidak banyak orang yang sudi membenarkan emas dalam mereka ditempa bersama dengan emas dalam orang lain. Akan tetapi, Tuan akan memperoleh sesetengah orang yang mengambil berat tentang kaki pelita dan sudi menjadi sebahagian daripada satu entiti emas padu ini.

Tujuh Pelita Melambangkan Tuhan Roh yang Menjadi Tujuh Roh Tuhan untuk Ekspresi-Nya

      Dalam kita ada dua pelita: Roh Tuhan yang diperhebat tujuh kali ganda dalam roh kita yang dilahirukan, yang menyinari dan mencahayai bahagian dalaman kita. Tujuh pelita dalam Wahi 4:5 ialah tujuh Roh. Pada masa yang sama, roh manusia ialah pelita Tuan. Semakin banyak Tuan mencahayai, semakin banyak hayat mengalir dan semakin banyak Kristus bertambah dalam diri kita. Jika kita hendak ditransform, kita perlu buka kepada Tuan dan membenarkan dua pelita itu menyelidiki semua ruang sukma kita. Kita semua memerlukan penyelidikan sedemikian.

Semua Emas harus Diletakkan Bersama Menjadi Satu Unit, Satu Entiti;
Hal ini Merujuk kepada Pembinaan

      Kita semua mempunyai emas dan emas ini harus diletakkan bersama menjadi satu unit. Dengan ini, barulah ada kaki pelita emas. Inilah pembinaan. Pembinaan Tuhan merupakan ekspresi korporat Tuhan. Sekiranya kita menyimpan emas dalam diri kita, kita belum lagi menjadi sebahagian daripada ekspresi korporat Tuhan. Bagaimanakah kita dapat menjadi korporat? Manusia luaran kita perlu dihancurkan supaya roh kita boleh mengalir keluar. Kemudian kita datang bersama-sama untuk persekutuan sejati dan pembauran sebenar. Dalam persekutuan dan pembauran ini, emas kita diletakkan bersama dan kaki pelita akan muncul.

      Tuhan tidak menghasratkan ratusan unit emas yang berasingan; Dia menghendaki semua emas diletakkan dan ditempa untuk membentuk kaki pelita. Perkara ini merupakan satu lagi harga yang perlu kita bayar kerana penempaan emas bukan selalunya sesuatu yang menyenangkan. Manusia luaran kita perlu disentuh. Hayat sukma kita tidak menyukai hal ini. Hanya segelintir percayawan sudi melaluinya. Untuk ini, kita perlu ada visi pembinaan Tuhan. Seluruh Yerusalem Baru ialah satu kaki pelita emas. Kota itu satu gunung emas tulen. Di puncak gunung terdapat satu pelita dengan cahaya di dalamnya. Itulah kaki pelita emas yang universal. Pada waktu itu, semua emas telah diletakkan bersama. Berjuta-juta anak Tuhan yang dimuliakan akan berada di sana. Mereka semua adalah sebahagian daripada satu unit, iaitu kaki pelita emas. Ini bermaksud semua orang telah mengetepikan diri sendiri. Semua orang telah membebaskan emas ke dalam pembinaan untuk ditempa. Oh, betapa kuatnya Tuhan mengingini hal ini!

      Jika kita telah melihat pembinaan, kita tidak akan bersikap individualistik. Kita akan sedar bahawa apa sahaja yang kita peroleh daripada elemen divin adalah untuk pembinaan. Kalau tidak, kita mungkin kaya dalam emas tetapi miskin dalam kaki pelita—pembinaan. Pertimbangkan kehidupan dan ministri Dikbang Lee. Dia memperoleh Tuan bukan untuk dirinya sahaja, tetapi untuk kita semua supaya kita dapat mengalami-Nya. Berkenaan kaki pelita, tiada maknanya untuk kita menjadi orang rohani semata-mata. Emas kita harus diletakkan bersama, ditempa dan dibina menjadi satu entiti; ini merujuk kepada pembinaan.

HTML Comment Box is loading comments...